.

Thursday 3 April 2014

5 Faktor Penting Kejayaan Projek Perisian

5 Faktor Penting Kejayaan Projek Perisian


Mencapai kejayaan dalam sesuatu projek perisian sememangnya menjadi impian setiap pasukan projek. Untuk mencapai kejayaan projek bukanlah sesuatu yang mudah, malah sehinggakan ke hari ini peratusan kejayaan projek perisian masih rendah. Kegagalan projek perisian boleh mencetuskan pelbagai masalah seperti kelewatan projek, peningkatan kos dan prestasi perisian yang tidak memuaskan.

Banyak penyelidikan telah dilakukan bagi mengenalpasti faktor-faktor kejayaan dan kegagalan projek perisian. Faktor-faktor ini jika dapat ditangani dengan betul, ianya mampu meningkatkan peluang kepada kejayaan projek. Tetapi tidak semua yang tahu dan mengambil berat tentang faktor-faktor penting ini.

Bagi meneruskan usaha ini, satu penyelidikan telah dilakukan oleh Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya bersama Universiti Teknologi Malaysia bagi menyediakan kajian literatur yang luas dan mengenalpasti faktor penting kejayaan projek perisian beserta impaknya.


Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan dan kekerapan. 76 artikel mengenai projek telah diambil daripada 4 pangkalan data jurnal yang terkenal iaitu www.Sciencedirect.com, www.ieeexplore.org, www.springerlink.com dan www.Emeraldinsight.com dan hanya 43 artikel yang berkaitan dengan projek perisian telah dikaji isi kandungannya. Artikel-artikel ini dikaji bagi mengenalpasti faktor-faktor kejayaan projek perisian yang boleh dikenal pasti melalui; keputusan daripada kajian empirikal (kaji selidik dan kajian kes), berdasarkan pengalaman dan juga kajian yang teliti terhadap artikel yang tidak memberikan faktor yang jelas.

Faktor-faktor yang mempunyai maksud yang sama dikumpulkan dan dikategorikan untuk menjalani analisis kekerapan. Nombor dan peratusan kejadian bagi setiap faktor kemudiannya di jadualkan di dalam jadual kekerapan untuk disenaraikan dan dibezakan kedudukannya.

Kesahihan kajian ini dikuatkan lagi kerana artikel-artikel ini diambil dari data empirikal dan pakar dari 8 negara maju seperti Finland, US, UK, Hong Kong dan Singapura. Seterusnya mari kita lihat 5 faktor terpenting dalam menentukan kejayaan projek perisian anda !

1. Keperluan dan Spesifikasi yang jelas

 Mengenal pasti keperluan dan spesifikasi dengan jelas diawal projek adalah sangat penting. Kadang-kadang pelanggan sendiri tidak memahami masalah yang mereka hadapi dan mereka meminta fungsi yang mereka tidak perlukan. Maka, tanggungjawab pengurus projek ataupun penganalis sistem adalah untuk menganalisa masalah pelanggan dan mengeluarkan satu senarai keperluan dan spesifikasi sistem yang jelas.

Keperluan dan spesifikasi yang jelas mampu mengelakkan terlalu banyak perubahan semasa pembangunan, penyediaan jadual yang realistik dan membina perisian yang tepat dengan keperluan. Kesemua proses pembangunan boleh dikatakan bergantung kepada cara anda menyatakan keperluan dan spesifikasi diawal proses pembangunan.

2. Objektif dan matlamat yang jelas

Matlamat dan objektif penting kerana ianya akan menjadi hala tuju dan panduan dalam pembangunan projek. Ianya hendaklah dinyatakan dengan jelas dan juga realistik. Projek yang berjaya adalah projek yang mencapai semua matlamat dan objektifnya dalam masa yang ditentukan.

3. Jadual yang realistik

Penyediaan jadual yang realistik juga penting dalam memastikan projek disiapkan dalam jangka masa dan keperluan yang telah dirancang. Kesilapan selalunya berlaku, apabila pengurus projek menggalas tanggungjawab seorang diri menyediakan jadual tanpa melibatkan pasukan projek (arkitek sistem, pereka pangkalan data, pengaturcara dll). Seharusnya, kesemua anggota pasukan projek hendaklah sama-sama berbincang memberi cadangan mengenai masa yang mereka perlukan. 

Penyediaan jadual dengan rancangan yang teliti akan memberikan suasana yang selesa kepada pasukan untuk bekerja. Hasilnya adalah sebuah produk perisian yang lengkap mengikut keperluan dan spesifikasi serta mengikut kitaran pembangunan perisian sepenuhnya. Anda boleh melihat tip-tip menyediakan jadual yang realistik di www.swqual.com/images/Creating.pdf‎.

4. Kemahiran menguruskan projek yang efektif/ metodologi (Pengurusan Projek)

Pengurus projek yang cekap dan pemilihan metodologi pengurusan projek yang tepat mampu meningkatkan peluang kejayaan projek. Pemilihan metodologi pengurusan projek hendaklah dilakukan dengan berhati-hati, kerana setiap metodologi digunakan bergantung kepada kesesuaian projek yang dibangunkan.

Sebagai contoh, metodologi tradisional pengurusan projek waterfall sesuai digunakan untuk projek yang mampu menjangka dan menyatakan keperluan projek dengan hanya sedikit ataupun tiada langsung perubahan. Manakala, metodologi agile memberi kelebihan kepada keupayaan untuk menyesuaikan diri kepada perubahan yang berlaku semasa pembangunan projek. 

5. Sokongan Dari Pengurusan Atasan

Pihak pengurusan atasan memainkan peranan yang sangat besar dalam kejayaan projek perisian. Mereka mempunyai kuasa terhadap projek-projek yang dijalankan. Sokongan dari pengurusan atasan seperti sokongan kewangan, masa, tenaga kerja, latihan dan sebarang sumber amatlah penting.

Pengurusan atasan yang baik hendaklah sentiasa menyediakan sumber yang diperlukan oleh projek. Mereka perlulah bersikap lebih terbuka dalam memahami situasi projek agar pasukan projek dapat bekerja dengan keadaan kurang tertekan; contohnya dalam mengejar tarikh akhir projek.

Di dalam kaji selidik ini, ianya telah berjaya menyenaraikan 26 faktor penting yang berkaitan dengan kejayaan projek perisian. Antara faktor-faktor lain adalah penglibatan pengguna ataupun pelanggan, komunikasi dan maklum balas yang efektif serta bajet yang realistik.

Untuk mendapatkan kertas kajian yang lengkap bertajuk “Critical Success factors for software projects: A comparative study”, anda boleh memuat turunnya di http://www.academicjournals.org/article/article1380714134_Nasir%20and%20Sahibuddin.pdf .

0 comments:

Post a Comment